Itik haram logo halal
Oleh Sulaiman Salleh
sulaiman@hmetro.com.my

SEREMBAN: Sebuah syarikat pengedar itik beku di Taiping, Perak, dipercayai cuba berselindung di sebalik logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedangkan ternakan itu dikesan tidak disembelih dengan sempurna mengikut hukum syarak.

Syarikat terbabit menjual itik yang disembelih terlalu ringkas, malah urat merih (kerongkong) dan urat halkum haiwan terbabit tidak putus menyebabkan penyembelihan berkenaan sama sekali bertentangan dengan kehendak agama.

Perkara itu didedahkan pengguna yang terkejut..apabila mendapati itik beku yang dijual dalam bungkusan menggunakan logo halal Jakim dibelinya di sebuah pasar raya di negeri ini dikhuatiri tidak halal kerana sembelihan dibuat sambil lewa.

Mohd Hazli Othman, 26, berkata dia diminta rakannya yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah agensi kerajaan membeli kira-kira 50 itik beku di sebuah pasar raya.
“Saya terkejut apabila rakan memberitahu semua itik itu tidak disembelih mengikut hukum syarak,” katanya ketika berkunjung ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.
Mohd Hazli berkata, semua itik beku itu dipulangkan kepada pasar raya terbabit dan lebih memeranjatkan pengurusan pasar raya itu memaklumkan itik yang dijual mereka tidak boleh dimakan orang Islam walaupun bungkusannya tertera logo halal.

“Saya menyangka pengurusan pasar raya itu mengambil tindakan serius mengenai kejadian itu dan menarik semula penjualannya, tapi kira-kira dua minggu kemudian, saya dapati produk itu masih dijual,” katanya.

Menurutnya, itik beku itu turut dijual di Pasar Besar Seremban dan beberapa pasar raya di negeri ini dengan harga RM8 sekilogram.

“Baru-baru ini saya ke syarikat yang mengedarkan produk itu di Taiping, tetapi tidak dibenarkan masuk tanpa mendapat kelulusan pengurusannya,” katanya.

Mohd Hazli berkata, sebagai pelanggan, dia berhak mengetahui produk dikeluarkan itu halal atau tidak.

“Produk dikeluarkan syarikat itu juga dikatakan turut dieksport ke beberapa negara jiran termasuk ke Asia Barat,” katanya.

Menurutnya, pihak berkaitan terutama Jakim diharap mengambil tindakan tegas terhadap syarikat terbabit jika didapati menggunakan logo halal palsu atau bersikap sambil lewa mematuhi syarat pengeluaran logo halal kerana ia menjejaskan imej Malaysia sebagai negara Islam.

Sementara itu, Harian Metro yang menyemak status logo halal di laman web Jakim mendapati syarikat terbabit mendapat keizinan penggunaan logo halal daripada Jakim dan lesen itu akan tamat pada awal tahun depan.

Sumber: MyMetro


Subscribe to Koleksi Cerita Menarik. by Email